Thursday October 06, 2005

LifeCare sasar perolehan RM35 juta

BY MUNIRA ABDUL GHANI


LIFECARE Diagnostic Sdn Bhd (LifeCare), pusat diagnostik berteknologi tinggi yang beroperasi sejak Julai lalu, mensasar untuk menjalankan 1,000 pemeriksaan kesihatan menjelang 2006.


Pengarah Urusannya, Dr Ong Kee Liang, sasaran itu berdasarkan lebih banyak kerja sama yang akan dijalin dengan pelbagai institusi termasuk membabitkan pelancongan kesihatan.

“Kami juga mempromosikan LifeCare kepada rakyat negara jiran termasuk China, selaras hasrat kerajaan menjadikan Malaysia hab pelancongan kesihatan,?katanya sambil menambah syarikat mensasar meraih perolehan sebanyak RM35 juta tahun ini.

 

Dari kiri Lee,Dr Ong, Andrew Yuan, Shirley Phuah

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara LifeCare dan Integrated Healthcare Management Sdn Bhd (IHM) di Petaling Jaya, semalam.

Menerusi MoU itu IHM akan menggunakan kemudahan canggih di LifeCare untuk pemeriksaan kesihatan pelanggannya.

Pada majlis itu Dr Ong mewakili LifeCare, manakala IHM oleh Pengarah Urusannya, Andrew Yuan.

Hadir sama Pengarah Eksekutif IHM, Shirley Phuah Lim Seng dan Pengurus Perniagaan LifeCare, Lee Koon Poh.

IHM ialah syarikat pengurusan kesihatan yang menawarkan pelanggannya program penjagaan kesihatan komprehensif, mampu dan berkualiti.

Yuan berkata, IHM akan memanfaatkan kepakaran dan kemudahan canggih di LifeCare untuk mempromosi program penjagaan kesihatan kepada kira-kira 100,000 pelanggannya.

“LifeCare berupaya membuat diagnostik dengan cepat yang mana keputusan boleh diterima pada hari sama.

“Pelanggan boleh menggunakan imej 3D yang disimpan dalam cakera padat kepada mana-mana doktor pakar pilihannya,?katanya.