Thursday October 06, 2005

Lifecare teliti kerjasama

Oleh Hayati Ibrahim


LIFECARE Diagnostic Sdn Bhd (LifeCare), pusat pemeriksaan kesihatan swasta meneliti kerjasama dengan beberapa rakan kongsi lain bagi memacu pertumbuhan syarikat yang baru memulakan operasi 1 Jun lalu.

Pengarah Urusan LifeCare, Dr Ong Kee Liang, berkata ia selaras dengan hasrat syarikat untuk mempromosi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan warga Malaysia.

"Ketika ini, kami berbincang dengan beberapa pihak tetapi kami tidak boleh memberi maklumat lanjut mengenainya.

"Kami ingin menjalin kerjasama dengan pihak terbabit dalam pelancongan kesihatan bagi membantu golongan ini ketika bercuti," katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Integrated Healthcare Management Sdn Bhd (IHM) di Petaling Jaya, semalam.

Pada majlis itu, Lifecare diwakili Dr Ong dan Pengurus Perniagaannya, Lee Koon Poh manakala IHM diwakili Pengarah Urusannya, Andrew Yuan Fook Yong dan Pengarah Eksekutif, Shirley Phuah.

Dari kiri Lee,Dr Ong, Andrew Yuan, Shirley Phuah

Dr Ong berkata, adalah penting bagi syarikat untuk mengenengahkan konsep mencegah lebih baik daripada mengubati.

Melalui kerjasama itu, Lifecare akan menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan kepada ahli IHM dengan harga berpatutan. Ketika ini, IHM mempunyai kira-kira 100,000 ahli.

Katanya, pusat yang dibina dengan pelaburan lebih daripada RM10 juta itu dilengkapi kemudahan terkini termasuk diagnosa pengimejan 'general electric' (GE) dengan 'ultrasound' beroda.

Di LifeCare, setiap pelanggan berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan seluruh badan dengan lengkap bermula ujian air kencing dan darah kepada imbasan 'Computer Tomography' (CT Scan) bagi organ dalaman.

Malah, pelanggan mendapat keputusan penuh pemeriksaan dalam tempoh satu hari.

Sementara itu, Yuan berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya menjangkakan perolehan tahunan syarikat akan meningkat kepada RM35 juta berbanding RM25 juta tahun lalu.